Keharmonian kerajaan, saintis bendung COVID-19

Segerakan ujian saringan antara langkah awal membendung penularan wabak COVID-19. – NSTP/Aswadi Alias

Oleh Prof Madya Dr Tengku Haziyamin Tengku Abdul Hamid

KETIKA wabak COVID-19, banyak negara mengalami fasa perintah berkurung atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah membendung penyebaran.

Walaupun PKP menjejaskan banyak kehidupan, keselamatan rakyat menjadi isu utama jika wabak sudah tersebar.

Cabaran pemimpin sesebuah negara adalah ketika membuat keputusan sama ada mendahulukan kepentingan ekonomi atau keselamatan rakyat.

Sebarang bentuk kesilapan akan mengakibatkan kebanjiran pesakit di institusi kesihatan yang kelengkapan dan kakitangannya mungkin terhad.

Keharmonian terbentuk antara pemimpin politik dengan saintis amat penting dalam menentukan tindak balas sesebuah negara ketika krisis pandemik.

Misalnya, Kerajaan China dikatakan cuba untuk menafikan kewujudan coronavirus baharu yang mula disedari di Wuhan.

Sememangnya dari awal lagi, dikatakan sudah wujud semacam amaran saintis di China mengenai virus ini. Akhirnya kerajaan terpaksa akur dan sekarang COVID-19 menjadi pandemik.

Di Amerika Syarikat (AS) pula, Presiden Donald Trump begitu tegas mengumumkan pengurangan dana penyelidikan sains dan sumbangan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tindakan Trump dilihat sebahagian langkah politiknya untuk mengembalikan ‘kegemilangan’ AS. Trump dilihat menganggap ringan pandangan pakar penyakit berjangkit, Dr Anthony Fauci.

Trump seolah memperkecilkan COVID-19 dan secara kontroversi menggelarnya ‘virus China’. Dinamika hubungan Trump-Dr Fauci menjadi genting, terutama di ambang COVID-19 melanda AS.

Sekarang, AS merekodkan sejuta jangkitan dengan lebihi 60,000 kematian.

Di Korea Selatan, satu-satunya negara yang menjadi pusat tular pertama COVID-19 di luar China, Presiden Moon Jae-in dikatakan berjaya membendung wabak itu.

Kunci utama dalam mengawal pandemik ini adalah kemampuan menyaring mereka yang asimtomatik. Tanpa melalui fasa PKP, Korea Selatan melakukan hampir 350,000 saringan dan ini dibantu infrastruktur serta pembangunan sains negara itu yang kukuh.

Korea Selatan membelanjakan kira-kira 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D), sekali gus melebihi AS yang mencatatkan 2.7 peratus dan China (2 peratus).

Di samping itu, kerajaannya dikatakan bertindak secara telus dan berkongsi segala fakta pandemik kepada orang awam.

Di Eropah, Jerman juga dikatakan begitu berjaya dalam mengekang penularan COVID-19. Tatkala negara Eropah lain berdepan dengan situasi darurat, Jerman merekodkan jumlah kematian yang agak kecil.

Dengan jumlah jangkitan melebihi 159,000 orang, Jerman melakukan saringan secara skala besar. Canselor Jerman, Angela Merkel dilihat begitu berjaya dalam mengendalikan COVID-19.

Ia turut dikaitkan dengan latar belakangnya dalam bidang kimia kuantum dan sentiasa terbuka terhadap pandangan saintis Jerman dari semasa ke semasa.

Di New Zealand, Perdana Menteri, Jacinda Ardern mengumumkan negara itu berjaya membendung COVID-19 sepenuhnya pada 27 April lalu.

Dalam kalangan pemimpin Barat, Ardern dilihat berjaya menonjolkan ciri kepemimpinan yang proaktif dengan mengambil berat setiap pandangan saintis, pakar mahupun rakyat.

Pandemik ini menunjukkan ketelusan kerajaan amat penting. Sebagai contoh, Indonesia dengan lebih 250 juta orang penduduk mempunyai jumlah kematian tertinggi di Asia tenggara.

Pada awalnya, kadar jangkitan dilihat agak rendah berbanding Malaysia, Singapura atau Filipina. Sehinggakan WHO kurang yakin dengan angka yang dilaporkan pihak Indonesia.

Pakar tempatan juga mendesak agar kerajaan Jokowi bertindak lebih telus. Pihak kerajaan dikatakan bertindak lewat dan mula memesan kit ujian saringan. Kita tidak pasti jika senario yang sama berlaku di berapa negara di Asia Selatan yang lain.

Apa yang terjadi di beberapa negara menunjukkan kejayaan membendung pandemik bukan sahaja terletak pada infrastruktur canggih dan kemajuan sesebuah negara, ia juga bergantung kepada keharmonian hubungan antara pucuk pimpinan dengan saintis atau pakar.

Di Malaysia, kita menyaksikan COVID-19 hampir berjaya dikawal ke tahap 6,000 jangkitan dengan 100 jumlah kematian.

Kita berharap, bertolak daripada COVID-19, kerjasama dan persefahaman yang wujud antara pemimpin politik dengan pakar kesihatan atau sains menjadi satu budaya yang berterusan dan keupayaan sains negara dapat dipertingkatkan untuk menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Bioteknologi, Kulliyyah Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Sumber dari Berita Harian : https://www.bharian.com.my/kolumnis/2020/05/683798/keharmonian-kerajaan-saintis-bendung-covid-19

Tags: No tags

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *